Wednesday, December 25, 2013

Aku Cemburu

...Assalammualaikum...

Aku cemburu melihat dia santap dengan makanan yang mewah, sedap serta mahal. Namun, tidak pada aku. Aku hanya makan mengikut kewangan pada diriku. Aku hanya makan mengikut keperluan aku.

Aku cemburu melihat dia mudah untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Namun, tidak pada aku. Aku hanya mampu memperoleh sekadar 'cukup makan'. Ya! Mungkin usahaku  tidak hebat.

Aku cemburu melihat dia terlalu pandai berkata-kata di hadapan orang ramai. Namun, tidak pada aku. Aku tergetar-getar dan kurang berkeyakinan ketika berkata-kata dihadapan orang ramai. Ya! Aku perlu berlatih supaya aku menjadi hebat berkata-kata dihadapan orang ramai.

Aku cemburu melihat dia kaya, banyak wang, punyai macam harta. Namun, tidak pada aku. Aku hanya ada sekadar untuk keperluan hidup aku. Ya! Aku perlu berusaha untuk menjadi kaya supaya aku punyai semua yang aku impikan.

Aku cemburu melihat mereka telah bernikah dan punyai anak-anak yang comel. Namun, tidak pada aku. Aku masih solo. Nak dijadikan cerita, aku masih bujang. Ya! Mungkin jodohku belum sampai. Allah akan memberi jodoh yang terbaik untuk aku. Aku pasti!

Walau apa cara sekali aku cemburu dan iri hati, tidak terniat dihati ini untuk berhasad dengki pada mereka. Mereka yang aku cemburui akan aku jadikan inspirasi untuk aku memperoleh apa yang aku impikan. Yang penting Usaha, Doa dan Tawakal. Jangan mengalah sebelum berusaha.

...Sekian, Wassalam...

Monday, September 9, 2013

UPSR oh UPSR

...Assalammualaikum...

Hari ini bermulalah Tahun 3 Semester 1 di UKM. Dah final year aku ni. Pejam celik pejam celik dah final year. Rasanya, macam baru semalam je masuk UKM ni. Masih segar lagi dalam ingatan aku ni masa aku orentasi.

Sedar tak sedar esok merupakan UPSR di seluruh negara. Dengar kata UPSR ni dah nak mansuh tahun depan. Betul ke? Entahlah kan. Kenapa nak mansuhkan pun aku tak tahu. Bila UPSR dah tak ada, adakah student akan lebih menghargai pembelajaran disekolah atau tak?

Bagi aku, UPSR ni tak perlulah nak dimansuhkan. Sejak dulu lagi UPSR ni dah sebati dalam hidup murid-murid sekolah rendah. Kalau tak macam tak bermakna je hidup di sekolah rendah tanpa UPSR. PTS pun dulu dimansuhkan. Aku batch terakhir amik PTS masa darjah 3. Tahun lepas tu terus tak ada.



Mengimbau kenangan lama aku ambil UPSR. Aku ambil UPSR pada tahun 2003 di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang. Sekolah ni terletak di Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor. Masa tahun tu aku merupakan antara 10 murid target 5A UPSR tahun 2003 memandangkan aku murid top10 dari 78 orang murid. Cewah! Macam berlagak plak.

Walaupun aku murid target 5A tapi aku tak target pun dapat 5A. Aku hanya target dapat 4A 1B je. Tapi, rezeki mengizinkan aku mendapat 3A 2B. Nak sedih, menangis, meraung pun tak guna. Itulah Qada' dan Qadar Allah masa tu. Balik dari ambil result kat sekolah aku balik rumah dan bagitahu mak result aku. Mak aku punyalah marah sebab result aku tak sebagus apa yang dia harapkan kat aku. Aku tak boleh kata apa-apa. Hanya dia 1000 bahasa.

Dalam banyak-banyak subjek UPSR. Aku memang suka subjek Matematik. Dan subjek ni aku dapat A dalam UPSR, PMR dan SPM seterusnya di Matrikulasi. Suka punya pasal. Rugi tak dapat A. Sejak dulu sampai sekarang. Tapi, rezeki aku di UKM ni bukan pada Matematik tapi pada Bioteknologi Tumbuhan. Alhamdulillah. Ada hikmah semua tu.

Buat calon-calon UPSR 2013 yang menduduki exam pada 10,11 dan 12 September ini, jawablah soalan yang dibagi dengan sebaiknya. UPSR merupakan permulaan hidup sebagai seorang pelajar pada masa akan datang.

...Sekian, Wassalam...

notaFO : Entry ini dibuat atas jemputan Cikgu Ayu sempena dia menjadi S/U Peperiksaan. Ada masa sebab tu dapat join.

Thursday, September 5, 2013

Cerita Kerja Aku : Pergaduhan Sesama Pekerja Di Tempat Kerja

...Assalammualaikum...

Aku pernah bagi tahu dalam entry sebelum ini bahawa kerja aku kali ni memberi aku 1001 pengalaman yang menarik. Aku sendiri telah melihat bagaimana pekerja sesama sendiri telah bergaduh. Yang bergaduh tu adalah perempuan. Kalau perempuan bergaduh, hanya bergaduh mulut je lah. Tak pulak bertumbuk. Tapi, mulut dia memang bising. Bingit aku dengar.

Dalam keadaan huru-hara pergaduhan ni ada beberapa kategori orang sekeliling bila tragedi bergaduh ni berlaku.

1. Orang yang bergaduh : Yang ni watak utama. Kalau tak ada mereka ni memang tak wujudlah kategori yang lain.

2. Orang yang cuba untuk menenangkan : Golongan ni bagus sebab dia cuba untuk meleraikan pergaduhan supaya tak menjadi lebih teruk. Mereka ni tak suka dengan pergaduhan.

3. Si pembatu api : Golongan ni jahat. Suka mencari point untuk melaga-lagakan lagi supaya pergaduhan ni menjadi lebih teruk. Orang yang bergaduh tu dah memang sedia ada panas. Dia tambah lagi kepanasan. bertambah panaslah jadinya.

4. Si pemerhati : Golongan ni natural. Meleraikan tidak. Menjadi batu api tidak. Dia suka tengok pergaduhan. Dari mula sampai habis. Selagi tak habis, selagi tu dia tengok.

5. Si Mulut Murai : Yang ni suka tengok pergaduhan tu. Lepas tu, dia suka menceritakan pada orang-orang lain. Dari orang tak tahu menjadi tahu. Orang macam ni lah boleh menjadi kecoh tempat kerja disebabkan satu pergaduhan yang tak seberapa.

6. Pendiam : Orang macam ni memang tak ambil peduli langsung pasal pergaduhan tu. Selfish namanya. Lantaklah kata dia. Yang penting dia selamat.

Aku berada dalam salah satu kategori diatas. Cuba tekalah apa kategori aku? Haha.

Banyak sebab kenapa berlakunya pergaduhan di tempat kerja. Antaranya ialah :

1. Isu hal peribadi dibawa ke tempat kerja. Lepas tu wujudlah caci mencaci, gaduh dan paling teruk berbunuhan.

2. Tak puas hati dengan kerja orang lain. Contohnya, A tegur B pasal kerja. Then, B tak terima. Bila tak terima, wujudlah pergaduhan sebabnya wujudnya tak kepuasan hati.

Sebenarnya, banyak sebab kenapa boleh berlakunya pergaduhan ditempat kerja. Tapi, aku respect dengan mereka yang bergaduh ditempat kerja aku ni sebab mereka ni boleh jadi profesional bila menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan mereka walaupun hati masing-masing saling tak suka.

Seelok-eloknya, di tempat kerja ni tak perlulah wujudnya pergaduhan sebab aku anggap tempat kerja ni sebagai rumah kita nombor dua dan kita sesama pekerja ni adalah satu keluarga.

...Sekian, Wassalam...

Tuesday, September 3, 2013

Filem : KL Zombie (Review)

...Assalammualaikum...

Akhirnya berkesempatan aku nak tengok KL Zombie. Mula-mula aku ajak adik aku tapi dia tak nak. Maka, secara tak sengaja terancanglah agenda nak menonton KL Zombie bersama 2 geng housekeeping yang lain, Amirul dan Syafiq.

Destinasi tontonan KL Zombie di MBO Cenema di Heritage Mall, Kota Tinggi. Harga tiket RM12.



Aku memang minat dengan filem Melayu ni sebab katanya nak menyokong produk tempatan. Tapi, aku ni memilih jugak nak tengok wayang ni sebab aku dah banyak kali terasa tertipu sebab ada cerita yang tak best. Bagi aku ada beberapa faktor kenapa aku nak tengok sesuatu filem kat panggung wayang. Antaranya ialah penerbit, pelakon, dan genre filem tersebut.

Semua dah tahu yang filem ni adalah adaptasi dari novel Zombijaya keluaran Buku Fixi. Aku memang minat Buku Fixi ni tapi aku belum berkesempatan untuk membaca buku ni. Dari segi penerbit, aku tak pertikaikan sebab Grand Brilliance antara penerbit yang mengeluarkan filem-filem yang best.




Genre filem Aksi, Komedi dan Thriller ni sangat menarik. Dan ketiga-tiga trailer ni ada dan memang menjadi dalam filem ni. Aksi yang menarik, komedi yang simple tapi tak over, thriller yang bagi aku agak menarik. Mungkin dia boleh bagi aksi dan thriller yang lebih hebat sebab dia nampak sedikit kurang dalam cerita ni.

Barisan pelakon yang dipilih dalam filem ni jugak sangat sesuai. Pembawakan watak yang berkesan. Paling aku suka adalah watak Faezah Elai dan seorang lagi budak yang berlakon dalam Alamak Toyol. Tak tahu pulak apa nama dia. Dalam cerita ni Zizan nampak best walaupun aku tak seberapa minat dia sebab kadang-kadang dia sedikit over bila berlakon. 

Dari segi jalan cerita, menarik bermula dari awal cerita lagi sebab tak payah nak tunggu lelama untuk berjumpa Zombi. Plot yang tersusun dan mudah difahami. Cuma, ending cerita ni agak kurang sedikit. Memang happy ending tapi ending yang tak menarik bagi aku. Cara huraian untuk mengubat Zombi pun nampak simple dan kurang menarik. Kalau diselitkan dengan Fakta sains atau penyelidikan mesti Filem ni boleh jadi taraf Hollywood.

Dari segi kostum dan solekan memang nampak real. Aku suka. Tak tahulah orang lain macam mana. Tapi, kalau betul-betul Zombi ni wujud dalam dunia realiti sekarang ni, aku pun boleh jadi takut jugak. Cuma, dalam cerita ni ada terdapat beberapa kesilapan. Terutama sekali sewaktu Nipis berlawan dengan Zombi. Kesalahannya apabila baju Nipis tak kena darah langsung sedangkan dia membunuh Zombi tu memancut-mancut darahnya. Baju dia sentiasa cantik tanpa sebarang kotoran. Sangat tak logik padahal dia beria-ia lawan Zombi tu.

Kalau dari segi Hollywood filem ni masih banyak kelemahan dari segi penceritaan dan jugak scene. Tapi dari segi filem Melayu filem ni boleh dikatakan menarik.

Bagi sesiapa yang belum tengok, lebih baik tengok lah. Tak rugi pun tengok Filem ni. Masih ada peluang nak ke wayang tengok cerita ni sebab belum sampai seminggu pun tayangan filem ni. Selamat menonton!

notaFO : pemilihan pelakon Lagenda Budak Hostel tak sesuai langsung. Itu dah menampakkan kelemahan Filem tu.

Sunday, September 1, 2013

Cerita Kerja : Sentap!

...Assalammualaikum...

Seperti apa yang aku bagi tahu sebelum ni, tempat kerja aku ni mempunyai pekerja yang berbilang kaum, agama, bangsa dan negara.

Bilik Housekeeping yang tempat selalu aku dan geng-geng housekeeping aku lepak bersebelahan dengan surau. Aku selalu guna surau tu untuk solat Zohor. Ada jugak beberapa pekerja lain guna surau tu untuk solat.

Suatu hari pada 31 Ogos 2013, kitorang semua lepak dan berborak di luar bilik housekeeping dan nampaklah orang keluar dan masuk dari surau tu. Sekali dapat borak memang bising lah. Tiba-tiba orang India tu cakap "Jangan bising, kat surau tu ada orang tengah sembahyang".

Aku sebagai orang Islam tersentap jugak sebab dia tahu menghormati agama orang lain. Kemudian, seorang demi seorang keluar dari surau tu dan orang India yang beragama Hindu tu berkata pada supervisor aku. Supervisor aku tu perempuan. Kata dia "Akak tak sembahyang ke? Saya tak pernah nampak akak sembahyang"

Aku rasa sentap ni memang menebalkan muka aku sebagai seorang Islam apabila orang bukan Islam menegur orang Islam mengenai Islam sendiri. Aku tak tahu lah apa yang supervisor aku tu rasa.

Di situasi yang lain pulak. Ketika aku kemas bilik Chalet yang telah digunakan oleh orang Palestin perempuan, supervisor aku disentap lagi oleh orang bukan Islam yang sama tadi.

Caranya seperti ini. Aku, Kawan aku yang bukan Islam dan Supervisor aku tu nak kemas bilik Chalet. Dalam kemas mengemas tiba-tiba kawan aku yang bukan Islam ni terjumpa kain tudung yang ditinggal oleh orang Palestin. Supervisor aku tu freehair. Kemuadian, kawan aku yang bukan Islam tu berkata, "Nah, saya jumpa tudung ni. Rasanya akak boleh pakai sebab akak tak pernah saya nampak pakai tudung".

Sedepuk! Sekali lagi kena sentap. Setiap kali dia kena sentap, dia mesti akan terdiam. Tak berani nak kata apa-apa.

Kadang-kadang aku sendiri terasa segan dan tersentap apabila orang bukan Islam sendiri tegur berkaitan Islam. Aku tak rasa yang diorang semua ni tak tahu pasal ni. Diorang tahu. Tapi, aku tak tahu kenapa diorang sanggup tak lakukan apa yang diorang patut lakukan. Tapi, nasib baiklah diorang tak menghalang orang lain untuk melakukan kebaikan.

...Sekian, Wassalam...

Thursday, August 29, 2013

Cerita Kerja : Ibadah di Waktu Kerja

...Assalammualaikum...

Lama jugak aku menghadap laptop ni untuk fikir semula cerita apa yang aku nak tulis sepanjang aku bekerja sebagai housekeeping ni. Setelah aku fikir-fikir, akhirnya aku mendapat idea untuk menulis tentang Ibadah di Waktu Kerja.

Bulan Ramadhan datang selepas selepas 5 hari aku bekerja di sini. Aku ingat kerja di bulan Ramadhan ni tak lah banyak sangat kerja tapi melampau-lampau banyaknya. Kerja paling hebat ialah mengangkut tilam dan divan ke hulu ke hilir. Dari bawah bukit ke atas bukit. Jangan terkejut sebab resort tempat aku kerja ni berbukit-bukit. So, chaletnya terletak di lereng-lereng bukit bukan di tanah yang rata.

Aku selalu berpesan pada diri aku yang setiap pekerjaan yang baik dilakukan adalah ibadah. Kalau dah namanya ibadah, dah tentunya dapat pahala. Tak payah nak merungut. Tapi, ada jugak segelintir staff di tempat kerja aku ni selalu merungut dan bila aku nasihat yang kerja ini ibadah, dia marah aku balik sebab bagi dia kerja macam ni bukan ibadah tapi malapetaka. Astaghfirullah. Aku hanya mampu terdiam. Malas nak bergaduh pasal hal ini. Biar dia fikir sendiri sebab aku dah bagi nasihat.

Pekerja di resort aku bekerja ni bukan setakat orang Melayu Islam semata-mata tapi ada juga kaum India Malaysia, orang Nepal, Indonesia dan juga Bangladesh. Maka berbilang kaum dan berbilang agama lah katakan.

Pernah satu Jumaat di bulan Ramadhan. Pukul 12.30 tgh aku mendapat pelepasan untuk ke Masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Sebelum aku keluar aku terserempak dengan sekumpulan pekerja resort berborak. 

Seorang India bertanya pada aku "Nak pergi mana?". 

Aku menjawab "Pergi ke Masjid, Nak Solat Jumaat".

Selepas itu, Orang India tersebut berkata pada orang Malayu Islam yang lain, "Eh, kau tak pergi Sembahyang Jumaat ke?"

Orang Melayu tu pun menjawab, "Aku baru masuk kerja, tak kan dah nak keluar".

Orang India tu menjawab balik, "Kerja tu kerja, kalau sembahyang kena buat, Itu wajib".

Sentap! Itu je yang dapat aku katakan. Orang bukan Islam tu pun tahu yang sembahyang itu wajib. Walau dalam apa-apa hal pun hal berkaitan agama mesti diutamakan.

Di waktu lain, orang India yang sama ni suka bermain nombor ekor. Bermacam-macam nombor ekor dia beli. Tiap-tiap hari dia akan spent duit untuk nombor ekor sebanyak RM170++. Memang banyak duit dia guna untuk beli nombor. 

Tapi, aku respect dengan pemikiran dia. Kata dia, duit hasil nombor ekor yang menang tu haram. Selalunya duit hasil kemenangan nombor ekor ni cepat habis. Sebabnya kata dia duit ni haram dan tak berkat. Jadi, malulah aku sebagai orang Islam apabila orang seagama kita tak sedar pasal ni. Bila dia kata macam tu, baru aku sedar sebenarnya semua agama menyuruh penganutnya melakukan kebaikan. Hanya kita je perlu pilih untuk kebaikan ataupun kejahatan.

Ada banyak lagi yang aku nak cerita sepanjang aku menjadi Housekeeping. Aku akan cerita pada entry-entry akan datang. Kiranya entry aku ni ada sekuelnya. Macam kelakar je ada sekuel dalam blog.

...Sekian, Wassalam...

Wednesday, August 28, 2013

Housekeeping di KTWR

...Assalammualaikum...

Sebulan sebelum aku bercuti, kerja dah masuk dalam perancangan mengisi masa lapang aku di waktu cuti semester ni. Rancangnya aku nak mintak kerja di Kota Tinggi Waterfall Resort (KTWR) dan aku nak mengisi jawatan kuli sebagai Housekeeping. Housekeeping ni bab kemas mengemas hotel dengan chalet. Alhamdulillah aku dapat.

1 Julai 2013 aku menjejakkan kaki di Daerah Pelancongan Bersejarah (Kota Tinggi). Lepas tu, aku terus pergi ke KTWR untuk mintak kerja. 4 Julai aku telah dipanggil untuk temuduga oleh Pengurus KTWR dan Alhamdulillah aku telah memulakan kerja aku pada Jumaat 5 Julai 2013.

4 September ini aku akan menamatkan perkhidmatan aku di KTWR sebagai Housekeeping. Selama 2 bulan lebih aku bekerja di sini, aku mendapat bermacam-macam pengalaman yang baru walaupun sebelum ni aku pernah kerja di sini. Pengalaman pahit, pengalaman manis semuanya ada. Dan penagalaman ini aku akan ceritakan satu persatu pada entry akan datang.

Pengalaman ini bukan sekadar aku memeberi perkhidmatan di KTWR. Tapi, pengalaman aku ni juga melibatkan antara pekerja dan juga pengunjung di KTWR. 

Nantilah, aku akan cerita apa yang menarik yang berlaku sepanjang aku bekerja selama 2 bulan di KTWR ni.

...Sekian, Wassalam...

Monday, August 26, 2013

Aktiviti Cuti Semester

...Assalammualaikum...

Pejam celik pejam celik cuti semester aku pun dah nak habis. Tak banyak aktiviti yang dapat aku buat untuk mengisi masa lapang di waktu cuti semester yang selama 2 bulan lebih ni. Tapi, cuti aku ini di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Agaknyalah berfaedah. Aktiviti ni aku akan ceritakan pada entry-entry akan datang. Ini dikira sebagai entry teaser aku setelah 2 bulan tak update. Tak pun di katakan sebagai warm up.

1. Kursus Induksi Exco Permaj 2013


Kursus ini telah diadakan pada 28 - 30 Jun  2013 di Tanjung Karang Selangor. Kursus untuk membentuk 'Team Building' antara barisan MT dan exco Permaj sesi 13/14.



Antara alumni dan barisan exco yang mengikuti kursus induksi ni.


2. Housekeeping di Kota Tinggi Waterfall Resort


Bekerja di sini adalah kali ke-3 aku berkerja. Kali ini aku mintak jawatan Housekeeping. Alhamdulillah dapat. Aku bekerja dari 5 Julai 2013 sehingga 4 September 2013. Bermacam-macam pengalaman yang aku dapat sama ada bersama pekerja resort ataupun costomer resort sendiri. Aku akan cerita one by one at the next entry.



Lencana pada baju uniform aku selalu pakai pergi kerja.


3. Berpuasa bersama keluarga dan beraya di Rumah Baru Atok.


Dah 2 tahun semenjak aku belajar kat UKM aku berpuasa penuh dan beraya terus di Kampung Lukut, Kota Tinggi. Tak payah susah-susah nak beli makanan buka puasa kat bazar. Mak masak 100% kat rumah. Lagi best sebab tak payah berebut-rebut nak beli tiket balik kampung untuk beraya. Bertambah best lagi apabila aku sekeluarga menyambut syawal pertama di rumah baru atok di Sedili Besar. Kampung apekebende tak tahu pulak namanya.



Beraya di rumah baru atok. Yang berdiri di pintu itulah atok aku. Dia pemalu sikit nak bergambar.



4. Membaca buku



Lebih kurang 4 buah novel aku dapat habiskan sepanjang 2 bulan lebih aku bercuti. Semuanya untuk mengisi masa lapang aku di waktu malam mahupun siang.



Antara buku yang dapat aku baca sepanjang 2 bulan aku bercuti.

5. Menonton Wayang

Masuk je gaji memang aku tak teragak-agak nak pergi wayang dan lepaskan gian untuk menonton wayang. Cerita yang aku tengok ialah KL Zombie. Kelakar dan agak thriller. Menjamin kepuasan bila menonton. Aku tak rasa rugi pun bila tengok. Berbaloi jugaklah RM12 aku laburkan kat situ.


Cerita panjang aku akan ceritakan satu persatu pengalaman aku sepanjang 2 bulan lebih ni pada entry akan datang. Itupun kalau ada yang sudi nak baca. 


...Sekian, Wassalam...

Thursday, June 13, 2013

Pengaruh Filem Klasik Melayu Ketika Kanak-Kanak

...Assalammualaikum...

Baru je tadi lepas tengok filem Bawang Putih Bawang Merah. Ni semua sempena kembalinya ke Rahmatullah Allahyarhamah Seniwati Latifah Omar. Aku suka lakonan dia. Selalu jadi baik. Muka pun manis.

Filem Melayu Kalsik hitam putih ni dah didedahkan kepada aku sejak aku kecik lagi. Mak Abah pun suruh tengok cerita ni. Katanya cerita hitam putih ni best. Banyak pengajaran. Lepas tangok memang betul pun. Tengok banyak-banyak kali pun tak muak. Tetap best. Tetap menghiburkan.

Bila dah tengok cerita hitam putih tu, mula lah terpengaruh. Tak tahu lah nak kata terpangruh baik ataupun buruk. Terpengaruh dengan scene yang ada dalam filem tu. Aku serta kawan aku ketika aku kanak-kanak menyamakan keadaan sekeliling aku dengan filem yang pernah ditonton.

Filem pertama : Bawang Merah Bawang Putih
Tahu tak pokok beringin yang ada buai tu. Yang Merah main buai tu. Pokok tu ada jugak di kampung aku. Memang besar. Sama macam dalam filem ni. Cuma tak ada buai sebab Pokok Beringin ni ada betul-betul tepi jalan.

Memang tiap-tiap kali pergi sekolah memang wajib lalu pokok tu. Tengah-tengah lalu berkatalah seorang kanak-kanak yang bersama pergi sekolah dengan aku. Katanya 'Kau tahu tak? Pokok ni dulu Bawang Merah pernah naik. Lepas tu kena lamar dengan anak raja. Lepas dia kahwin dengan anak raja. Dia dah tak naik buai tu lagi. Memandangkan Bawang Merah dah lama tak naik buai tu, langsuir (spesis hantu) naiklah buai tu. Lepas tu orang kampung selalu nampak hantu sehingga takut nak lalu situ. Jadi, orang kampung potong buai tu dan langsuir tu tak dapat naik buai jadi dia duduk kat atas pokok tu bila-bila masa dia suka'

Disebabkan cerita itu, aku boleh jadi percaya dan aku pun menyampaikan cerita mengarut tu pada orang lain. Memang pokok tu menyeramkan. Tapi, pokok tu dah tak ada kat tepi jalan tu. Dah kena tebang terus di sebabkan oleh ketuaan yang dialami oleh pokok tersebut. Jadi, budak-budak sekarang mesti tak tahu tentang pokok tu pernah menjadi lagenda pada zaman aku kanak-kanak dulu.

Filem Kedua : Tanggang
Rumah aku memang berdekatan dengan gunung. Gunung Panti namanya. Gunung panti ada puncak yang seperti kapal yang terbalik. Makanya budak-budak selalu kata bahawa puncak tu sebenarnya adalah kapal tanggang 'Si anak derhaka'.

Budak-budak ni dapat cerita hasil dari penipuan yang mak bapak diorang sendiri yang cerita. Semuanya untuk mpengajaran budak-budak supaya tak derhaka. Katanya tempat ni boleh jadi sumpahan seperti yang pernah berlaku. Sesiapa melawan akan menjadi seperti tanggang. 

Puncak tu memang sedia ada sehingga sekarang. Tak berubah pun.

Filem Ketiga : Batu Belah Batu Bertangkup
Batu ni terletak dekat dengan rumah aku. Sangat besar dan budak-budak kampung aku termasuk aku menggelarkan ini adalah batu belah batu bertangkup. Selalu main kat situ. 

Dalam main-main berhampiran dibatu tu adalah seorang budak yang dah pandai bercerita menipu berkata  'Batu ini lah yang ada dalam cerita batu belah batu bertangkup tu. Lagi satu, mak cik yang kempunan telur tembakul tu masih ada dalam ni. Tak keluar pun lagi.' Lepas tu, idea beramai-ramai pun keluar 'Jom kita seru batu ni suruh bukak. Kita tengok dia bukak ke tak'

Dah puas-puas seru, batu tu tak bukak pun dan mengandaikan yang batu ni masih kenyang. Dah tak nak telan orang lagi. Batu ji masih kukuh lagi berhampiran dengan rumah aku. Batu besar memang banyak disekeliling kawasan kampung aku. Semua batu budak-budak kata batu belah batu bertangkup.

*****

Tak sangka pulak kan bila aku fikir-fikirkan balik, memang kuat jugak pengaruh filem hitam putih masa aku zaman kanak-kanak ni. Macam-macam cerita ada. Itu lah ini lah. Ini menunjukan bahawa penyampaian filem klasik Melayu ni dekat dengan penonton dan boleh memberi kesan pada semua orang.

Paling best, bila lepas tengok filem ni semua main berlakon sama dalam cerita tu. Memang lawak! Budak-budak sekarang tak tengok pun cerita macam tu. Katanya cerita tu buruk! Tak ada warna!

Nota : Kata abah pengambaraan filem Semerah Padi dulu memang shooting kat kampung aku. Sawah tu ada kat kampung aku dulu. Tapi sekarang dah tak ada atas sebab faktor tanah yang dah tak sesuai untuk tanam padi.

...Sekian, Wassalam...

Sunday, June 9, 2013

Adik Kembar Aku Nak Di Beli!

...Assalammualaikum...

Cerita yang nak aku tulis ini adalah cerita yang telah abah dan mak aku ceritakan pada aku dan adik-adik.

Setahun selepas adik kembar aku dilahirkan. Mak abah serta anak-anaknya berpindah ke rumah yang baru. Rumah ini adalah rumah bantuan yang telah diberi oleh kerajaan pada tahun 1995. Keluarga aku bukanlah keluarga yang senang. Tapi, makan tak pernah putus. Cuma kemewahan tu memang susah untuk diperolehi. Tapi, itu tak menjadi masalah sebab orang sekeliling pun macam tu jugak.

Menurut cerita abah, semasa abah ingin meminang mak dan berhasrat untuk berkahwin, ramai orang tak percaya akan kebolehan abah untuk berumah tangga. Abah memang susah masa tu. Kerja tak tetap. Tapi, mak aku terima dengan wang hantaran RM2000 serta maskahwin sebanyak RM22.50. Cakap-cakap orang bila abah berumah tangga tu memang susah nak kawal. Tapi, abah memang keras hati. Hati yang cekal. Sampai sekarang macam tu. Keras hati dalam segala hal tetap ada.

Alhamdulillah. Abah mak serta aku adik beradik hidup cukup makan. Tak pernah dalam sehari aku sekeluarga tak pernah makan. Kalau tengok 'Bersamamu' yang orang makan nasi dengan air garam serta makan ikan kering tu, keluarga aku lebih mewah daripada itu. Setakat makan 3 kali sehari tu memang cukup. Tak pernah putus makan.

Suatu hati, datang sepasang suami isteri ke rumah aku sekeluarga. Kalu tak silap kejadian ni dalam tahun 1995/1996. Abah jemput dia masuk. Dia tak nak. Tak sudi nak masuk rumah aku sekeluarga. Okey, abah tak paksa dan abah paham kenapa orang tak nak masuk. Masa tu rumah aku tak ada sofa ataupun bantal kusyen. Hanya duduk berlantaikan simen yang di alas tikar getah.

Sepasang suami isteri itu datang memang ada hasrat. Kalau tak ada hasrat memang dia tak nak datang ke rumah abah walaupun dijemput. Dengan tiba-tiba dia berkata "Den datang sini nak amik anak kau. Biar den yang jago. Den ni tak ado anak. Den tengok kau ni, entah boleh entah tidak bagi anak kau makan. Kau tu kojo pun nak tontu. Den bagi RM5000. Kau bagi anak kau yang sorang tu. Den nak yang itu". 

Abah terkejut! Tak pernah abah aku berniat nak bagi anak-anak dia pada orang lain. Kemuadian abah berkata. "Biar den tak cukup makan, jangan harap anak den ni den bagi kat kau. Den susah pun, den tak ponah mintak duit orang lain. Den usoho sendiri. Sampai bilo-bilo pun den tak kan bagi anak den kat kau. Kalau anak den ni mati, biarlah dio mati dopan den".

Dengan kata-kata abah tu, sepasang suami isteri itu terus melangkah balik ke rumah. Ada hikmah kenapa abah tak nak bagi anak-anak dia pada orang lain. Abah berani menjaga haknya supaya tak jatuh pada tangan orang lain. Kata abah, kalau abah nak bagi dah lama abah buat macam tu. Sejak dari aku dah ramai orang mintak nak bela. Siap letak duit untuk beli aku dengan adik-adik. Orang menganggap abah aku tak mampu nak besarkan anak-anak dia. Tapi, abah tak nak. Sebab abah aku tahu pertalian ni akan terputus serta merta jika abah bagi anak-anak dia pada orang lain.

*****

Bila aku balik bercuti ke rumah, abah asyik kata "Tak sangka abah dapat besarkan anak abah. Sihat! Tak ada sakit yang teruk-teruk. Alhamdulillah. Dulu orang asyik kata yang abah tak dapat besarkan anak. Anak abah tak dapat sekolah lah. Tapi, sekarang ni besar dah pun. Dah masuk U pun."

Walaupun macam mana keluarga aku. Dia tetap menjadi keluarga aku sampai bila-bila. 'Air dicincang tak akan putus!' Aku nak jadi seperti abah yang sentiasa kuat semangat dalam kehidupan. Kalau abah mudah putus asa, tak tahu kemana aku sekarang ni.

...Sekian, Wassalam...

Saturday, June 8, 2013

Aku Dapat Adik Kembar!

...Assalammualaikum...

Aku bangun dari tidur. Masih siang. Aku di atas kerusi di ruang tamu rumah atok aku di ladang koko. Dulu atok aku bekerja di ladang koko. Mengutip koko katanya. Nak makan koko pun boleh, petik je. Tak susah. Suka aku dengan koko tu. Sedap. Dah lama tak dapat merasa koko segar macam tu.

Aku lihat pak cik aku. Satu-satunya adik lelaki mak aku. Dia baru je masuk dari rumah. Aku nampak sesuatu bungkusan kecil di tangannya dan aku tahu yang dia baru balik dari kedai. Aku bertanya 'Beli apa tu?'. Dia menjawab 'Aji no moto'. Berulang-ulang dia kata sambil menyanyi seperti di iklan TV. Aku bertanya lagi, 'Mak mana? Dah lama tak nampak mak.'. Pak cik aku ni rajin melayan 'Mak kat hospital. Nanti dia balik bawak baby'. Alangkah gembiranya aku bila pak cik aku bagi tahu yang aku akan dapat baby. Bayangkan dah 3 tahun lebih aku menjadi anak tunggal, inilah masanya aku akan dapat adik.

Beberapa jam kemudian...

Aku nampak kereta berhenti di depan rumah atok aku. Aku nampak abah keluar dari kereta tu sambil bawak baby. Lepas tu abah bukak pintu untuk mak. Mak pun bawak baby. Aku melompat riang gembira sebab mak dengan abah berjaya dapat bawak balik 2 orang baby dari hospital.

Belum pun mak dengan abah masuk ke dalam rumah aku pun berkata, 'Mak dengan abah kenapa amik 2 baby je. Amik lah banyak baby kat hospital tu. Lama-lama duduk kat hospital dapat amik 2 baby je?' Alangkah tak tahunya aku masa tu dari mana baby tu datang. Bagi aku baby ni muncul secara banyak-banyak di hospital. Kemudian, bila mak bapak nak anak, datang je hospital dan amik baby tu. Itulah pemikiran seorang budak 3 tahun yang masih suci lagi.

Gembiranya aku dapat 2 orang baby sehingga aku cium sampai puas. Aku siap mintak dengan mak yang aku nak tidur dengan baby ni. Sebab baby ni comel. Mak pun berkata 'Baby ni kecik lagi, dia masih lembut. Tak boleh kasar-kasar. Kalau kasar-kasar dia sakit. Kalau dia sakit, dia nangis.' Makanya, aku pun tak kacaulah baby tu sebab tak nak bagi dia nangis sebab sakit.

*****

Dua tiga hari kemudian, aku sedang bermain di sekitar rumah atok aku bersama kawan-kawan aku yang merupakan anak pekerja ladang koko. Tiba-tiba ada orang datang rumah aku ramai-ramai naik kereta. Kawan aku dengan hati yang busuk pun berkata 'Habislah, orang ramai-ramai datang tu nak amik baby ko tu. Baby ko kan comel. Ada dua pulak tu'.

Tanpa lengah aku berlari masuk rumah atok aku. Memang ramai orang berkerumun dalam bilik yang ada mak dengan baby tu. Aku risau orang tu nak amik baby tu. Aku masuk kononnya nak melarang supaya jangan ambil adik aku.

Tiba-tiba seorang mak cik mana ntah berkata, 'Mak cik amik baby ni ye satu, satu lagi awak punya'. Dengan nada suara yang tinggi dan marah aku pun berkata, 'Tak boleh. 2 baby ni kita punya! Penat mak kita amik baby ni kat hospital! Kalau nak baby amik sendiri kat hospital tu. Jangan nak ambil baby kita ni'. Mak cik tu terus terdiam tak terkata.

*****

Betapa sayangnya aku pada adik aku. Tak nak orang lain ambil. Bayangkanlah sebelum aku dapat adik selama 3 tahun 10 bulan, aku main pun seorang diri. Tak ada kawan. Dah dapat adik, tak kan senang-senang nak bagi kat orang. Betul tak?

Mintak kat abah dengan mak aku masa tu pun dia tak akan bagi. Anak-anak ni lah aset bagi dia. Kalau aset ni bagi pada orang, apa yang mak abah aku akan dapat?

Adik aku yang baby yang aku cerita ni akan berumur tepat 19 tahun pada 13 November 2013 ini. Jantina adik kembar aku ni adalah perempuan. Kembar yang tak seiras langsung! Tapi, memang rapat.

...Sekian, Wassalam...

Tuesday, May 28, 2013

Lidah Buaya

...Assalammualaikum...

Isnin 27 Mei 2013 aku ada kelas malam bersama pensyarah yang tidak di sebut namanya dalam entry kali ini. Kelas yang di ajar adalah Biokimia bagi tajuk fotosintesis. Dalam setengah jam yang terakhir sampailah pembelajaran kami ke subtopik tumbuhan CAM. Di sini, kami semua di ajar tentang cara tumbuhan CAM menjalani proses fotosintesis dalam meneruskan kehidupannya.

Sehinggalah Dr aku tu nak memberi contoh yang serupa pokok yang menjalani ciri kehidupan CAM. Spesifiknya dalam tumbuhan tu mengandungi banyak air seperti kaktus.

Pensyarah aku bertanya "Pokok apa yang mempunyai air yang banyak. Dia ada banyak di kawasan sekian, sekian dan sekian"

Secara berjemaahlah student dia termasuk aku menjawab pokok lidah buaya.

Kemudian dia pun menambah lagi "Ada lagi satu pokok tu, yang selalu buat jus tu, apa nama pokok tu ek". 

Student semua diam. Tunggu dengan penuh debaran, pokok apakah yang akan di beritahu tu. Dr tu berfikir sambil memandang lantai dan sedikit menggaru kepala supaya memori kembali dengan serta merta. Secara mengejut dia pun berkata,

"Haaaaaa... POKOK ALOE VERA!"

"Aloe Vera dengan Lidah Buaya tu sama lah!" Jerit seorang student dalam kelas aku tu.

"Eh! Aloe Vera dengan Lidah Buaya tu sama ke?" Dr aku buat muka innocent.

Berderailah suara hilai tawa student dalam kelas tu. Tak sangka Dr aku tu boleh buat lawak. Apa tak lawaknya Dr aku yang dah hidup sehingga 40++ tahun dan ditambah pula mendapat PhD pun masih tak tahu yang Aloe Vera dan Lidah Buaya adalah pokok yang sama cuma nama je yang berbeza.

Sumbangan Google

Lepas ni kalau aku keliru tentang hal yang lain-lain, tak payah lah aku nak segan sangat sebab Dr aku sendiri pun keliru dan tak tahu perkara-perkara macam ni. Paling penting Dr aku ni sangat sporting. Tak ada masalah pun orang terutama student gelakkan dia secara berjemaah. Ada yang terbahak-bahak sehingga keluar air mata. Jozan pun tak boleh buat macam ni punya lawak!

...Sekian, Wassalam...

NotaFO : Bagi yang tak tahu, Dr yang aku maksudkan adalah Doktor yang telah belajar sehingga ke peringkat PhD. Bukan Dr perubatan yang duk kat sepital tu.

Monday, May 27, 2013

Role Model

...Assalammualaikum...

27 April 2013, aku telah pergi ke PABKL2013 di PWTC. Seperti biasa aku naik KTM dan LRT Rapid. Bukan pasal itu aku nak ceritakan. Tapi, aku nak cerita apa yang aku nampak dan memberi pengajaran buat aku pada masa akan datang. Bukan setakat aku, tapi mereka yang sedang ataupun bakal bergelar ibu dan bapa. 

Apa yang aku nampak ialah sebuah keluarga. Ada mak, ayah dan seorang anak kecil yang baru berusia setahun macam tu. Mereka semua ni berdiri. Tak ada tempat duduk. Betul-betul berdiri berhadapan dengan aku.

Aku perhatikan je gelagat mereka sekeluarga. Yang paling aku tertarik adalah pada anak lelaki mereka yang berumur lebih kurang setahun tu. Aku lihat si ayah melayan anaknya. Bila ayahnya berdiri memegang besi, si anak pun nak buat. Bila ayahnya menyangkung, si anaknya pun menyangkung. Nak dikatakan apa yang ayah dia lakukan, si anak pun nak lakukan juga.

Nampak tak di sini bahawa, si anak menjadikan ibu bapanya sebagai ikutan. Apa yang dilihat oleh anaknya mesti dia nak buat, mesti dia nak ikut. Tak kiralah benda tu baik atau buruk. Bagi budak sekecil itu, apa yang dia nampak semuanya baik. Bagi mereka, apa yang orang dewasa buat semuanya betul walaupun hakikatnya benda itu adalah salah.

Anak-anak menjadikan ibubapa mereka sebagai role model. Maka dengan itu, bagi mereka yang sudah bergelar atau bakal bergelar ibu bapa perlu ingat yang kita semua perlu memberi sifat dan sikap yang terbaik dihadapan anak-anak. Kalau baik dan cantik sikap kita, maka baiklah acuannya. Begitulah sebaliknya. Jangan nak salahkan anak 100% bila anak-anak tu buat masalah kepada diri kita nanti. Kena pandang balik bagaimana sikap kita tu.

...Sekian, Wassalam...

NotaFO : Dah macam bapak-bapak puulak buat entry macam ni rupa.

Sunday, May 26, 2013

Jawatan

...Assalammualaikum...

11 Mei 2013.
Sedang aku khayal dalam dunia facebook, twitter dan blog aku ni secara tiba-tiba notification chat box aku berbunyi. Aku nampak penghantar mesej tu bukan selalu yang chat dengan aku. Aku bukak. 

'Faizul, anda dicalonkan sebagai exco bagi Permaj. Boleh datang interview Isnin (13 Mei 2013) jam 9 malam di FSSK?'

Aduh! Macam mana aku boleh dicalonkan ni? Macam mana nama aku boleh naik? Tak kan tak ada orang lain lebih layak dari aku sehingga nama aku terpilih untuk menjadi exco? Aku tak pernah sumbangkan apa-apa tenaga pun untuk Permaj melainkan sekadar menjadi peserta dari 3 program yang telah dijalankan Permaj. Hrmmm.

Bila dapat tawaran tu, aku dah tak senang duduk. Duk berfikir berkali-kali. Sama ada nak terima atau tak. Bermacam-macam perkara aku fikir. Orang menaruh kepercayaan kat aku. Tak kan aku nak hampakan. Argh! Memang serabut kepala otak aku ni. Tawaran ni bukan tawaran pertama yang aku dapat. Ini adalah tawaran ke tiga untuk aku memegang jawatan dalam persatuan di UKM. 2 jawatan aku pernah ditawarkan dan menerima jawatan tersebut. Tapi, tak sampai beberapa bulan aku meletak jawatan dalam kedua-dua jawatan tersebut. Alasan, aku tak mampu lakukan.

Tapi, kali ini aku tak sangka ada orang sanggup menawarkan aku jawatan seperti itu walaupun jawatan itu tak sebesar presiden, timbalan presiden mahupun setiausaha tapi bila dah dapat jawatan bermakna kita dah ada tanggungjawab. Bila dah ada tanggungjawab, mestilah kena laksanakan. Kalau tak laksanakan orang akan pertikaikan jawatan kita.

Nampaknya Presiden Permaj sangat berani mengambil aku sebagai exco. Sebab apa? Sebabnya tahun 2013/2014 adalah tahun akhir pengajian aku. Lagi satu, aku ni pelajar sains yang akan sibuk dengan thesis dan makmal pada tahun depan. Presiden memang berani menawarkan dan memberi jawatan ini pada aku.

Maka setelah aku fikir itu dan ini. Pro dan kontranya tentang tawaran ini, 13 Mei 2013 aku pergi jugak interview jawatan ni yang di interview oleh Majlis Tertinggi Permaj.

Masa interview. Peh! Memang bermacam-macam soalan. Jenuh aku nak menjawab. Berpusing-pusing otak aku ni nak menyusun ayat nak menjawab soalan-soalan yang dibagi. Jawapan paling syok yang aku bagi untuk memuaskan hati diorang adalah 'Kalau saya boleh buat, saya cakap yang saya boleh buat. Kalau saya tak boleh buat, saya akan cakap yang saya tak boleh buat'. Itu je rumusan yang aku dapat bagi hasil interview aku. Aku tak nak mereka semua menaruh harapan yang tinggi terhadap aku.

Masa akan datang kita tak tahu apa yang akan jadi pada aku. Sama ada aku boleh bagi komitmen yang baik atau sebaliknya. Semuanya bergantung pada keadaan.

Kira-kira 21 Mei 2013, aku mendapat sms yang aku telah dilantik menjadi exco Permaj. Untuk jawatan apa aku tak tahu. Aku diminta datang untuk meeting perdana bersama MT dan Exco-exco Permaj yang lain.

Disini aku dapat tahu apa jawatan aku. Seperti batu menghempap diri apabila aku dibagi jawatan sebagai Timbalan Exco untuk Sekretariat Ekonomi dan Keusahawanan. Siap bagi tahu portfolio lagi tentang tugas-tugas aku. 



Memang mencabar bagi aku sebab aku diumpama buat Marketing dan mencari duit untuk apa-apa program untuk Permaj. Tak pernah lagi aku buat Marketing semua ni. Ye! Aku kena ambil cabaran ini untuk menambahkan pengalaman hidup aku.

Meeting Perdana ni drag sampai jam 1 pagi. Cabaran meeting pertama. Ini baru meeting pertama? Dah lama macam ni. Kalau meeting-meting akan datang macam mana lah ye. Tunggu dan lihat sahajalah.

...Sekian, Wassalam...

NotaFO : Sebelum aku menghadiri Meeting Perdana Permaj tu, aku menghadiri meeting untuk Kelab Bioteknologi di bawah fakulti dan diberi jawatan sebagai Exco Akademik. Nasib baiklah aku dapat jawatan tu. Sebelum ni ahli-ahli yang lain nak mengangkat aku sebagai YDP kelab. Nasib baik aku tak dicalonkan. Alhamdulillah. Kalau tak bertambah berat tanggungjawab aku ni.

Friday, May 24, 2013

Siapakah Dr Ashraf???

...Assalammualaikum...

Hari ini (23 Mei 2013) ada taklimat latihan Ilmiah untuk program Bioteknologi Tumbuhan dan Bioteknologi dengan Pengurusan. Dr. Firdaus yang bagi taklimat. Pung Pang Pung Pang dia duduk bebel kat 25 orang student yang bersemangat nak buat thesis (latihan ilmiah) tahun 3 nanti. Dah terbayang-bayang apa tajuk dan siapa penyelia yang menjadi pilihan.

Secara tiba-tiba, para student wanita berbisik-bisik sesama mereka. Eh! Kenapa Dr.Ashraf tak amik student untuk program kita? Sok sek sok sek aku dengar diorang ni berkata. Tergedik-gedik memasing bercerita pasal Dr.Ashraf tu. Kenapa dengan Dr tersebut? Aku tak tahu menahu pun. Popular sangat ke dia tu? Apasal aku tak pernah tahu?

Sehinggalah kelas pukul 6 petang tadi. Pun dengan Dr.Firdaus. Para wanita masih bercerita depan aku. Bercerita pasal Dr.Ashraf tu lah.

"Kenapalah Dr.Ashraf tu tak amik student kos kita. Kalau amik, aku nak jadi student yang buat thesis dengan dia". Kata pelajar perempuan A.

"Hish! Korang ni, dari pagi tadi aku dengar nama Dr.Ashraf tu. Kenapa dengan dia?" Aku rasa cemburu.

"Dia pensyarah baru dan dia tu muda" Jawab wanita tu.

Aku tak mengalah. Aku pun menjawab balik. "Aku pun muda jugak. Dah 2 tahun hidup sekelas dengan aku. Tak kan tak perasan yang aku ni muda?"

Eh! Dia tak mengalah lagi. Dia menjawab balik demi Dr.Ashraf tu. "Dia muda dan handsome. Kau muda je."

Ok. Find! 

Eleh, macam lah dia nak layan kau. Perempuan memang hidup penuh dengan perasan. 13 perempuan kos aku. Macam-macam perangai. Mostly hidup dalam fantasi! Running-Man lah . K-pop lah. Apa kurangnya lelaki Melayu kat Malaysia ni? *nada kecewa sebab mereka lebih pandang korean man berbanding Malaysian Man.

Sampai sekarang aku masih tak tahu siapakah dan macam mana rupa DR. Ashraf yang perempuan-perempuan ni sibukkan sangat!

...Sekian,Wassalam...

NotaFO : Cerita ini sekadar hiburan. Tapi 95% adalah benar belaka. Aku tahu. Budak kelas aku tak baca pun entry ni. Aku tulis, aku baca sendiri.

Monday, May 20, 2013

Aku Buat Mak Sebak

...Assalammualaikum...

11 Mei yang lepas, aku terpanggil-panggil dan meronta-ronta untuk call Mak yang berada nun jauh di Kota Tinggi. Nak balik selalu memang tak lah kan. Mak sendiri bagitahu pada aku supaya tak payah selalu balik. Selalu balik, duit banyak habis. Duduk je kat sana, belajar sungguh-sungguh sampai berjaya.

Berbalik pada cerita aku ni. Pukul 8 malam. Lebih kurang macam tu lah. Bersemangat aku call mak. Mula-mula, aku bagi salam. Lepas tu, mak jawab. Kemudian, aku tanya mak buat apa. Lepas tu mak jawab balik. Katanya mak abah dengan adik-adik keluar makan kat kedai.

Dengan menarik nafas dalam-dalam aku terus ucap "Selamat Hari Jadi, Selamat Ulang Tahun Perkahwinan dan Selamat Hari Ibu!". Dengan tiba-tiba mak menangis. Aku syak, mak aku sebak dengan semua ucapan aku yang secara tiba-tiba. Mak sebak membuatkan air mata aku pun nak jatuh secara tiba-tiba. Bila aku tanya, kenapa mak nangis, mak cakap tak ada apa-apa. Eleh, macam aku tak tahu je yang mak tengah sebak sebab dapat ucapan aku sekali gus tu.

Mak tak nak cakap. Tapi, along tahu. Tak payah sorok. Along tahu segalanya. 

Dengan itu, aku nak ucapkan Selamat Hari Lahir yang ke 46, Selamat Ulangtahun Perkahwinan buat Mak dan Abah yang ke 23 tahun dan Selamat Hari Ibu selam 22 tahun bergelar seorang ibu. Semoga hidup Mak dan Abah sentiasa diredhai oleh Allah.

Hargailah keluarga kita selagi mereka berada disisi kita. Jangan kita sakiti hati mereka. Jika kita telah sakiti hati mereka cepat-cepatlah meminta maaf. Tak rugi minta maaf pada mereka.

...Sekian, Wassalam...

Saturday, May 18, 2013

Relevenkah Lagi Blog Sebagai Platform Perniagaan Online?

...Assalammualaikum...

Hari ini aku akan menjawab dari persoalan BenAshaari mengenai tajuk diatas. Pendapat aku...

Releven atau tak memang sukar untuk diperkatakan. Lihat jugak pada jenis perniagaan seperti mana. Pada aku facebook, twitter dan histagram lebih berbaloi untuk memperniagakan produk yang kita niagakan berbanding dengan blog. Jika menggunakan Facebook, Twitter dan Histagram sebagai platform perniagaan online sangat bangus kerana publisiti lebih cepat dan meluas disebabkan pengguna laman sosial tersebut lebih ramai berbanding blog. 

Zaman sekarang ramai orang telah mempunyai facebook, twitter dan sebagainya. Maka, kekerapan orang untuk bersama facebook dan sebagainya adalah lebih berbanding dengan blog. Facebook, twitter dan histagram lebih mesra pengguna berbanding dengan blog sebab pengguna boleh memberi pendapat antara pengguna yang lain.

Kalau aku nak buat perniagaan online pun sudah tentu aku akan menggunakan facebook, twitter dan histagram sebagai platform untuk aku berniaga. Semuanya atas sebab-sebab yang aku bagitahu seperti diatas.



...Sekian, Wassalam...

Wednesday, May 15, 2013

Drama Galaxy Wonder & Smartphone RM1200

...Assalammualaikum...

Peristiwa ni berlaku pada 2 Mei 2013. 3 hari sebelum PRU13. 

Hari tersebut adalah hari seperti biasa aku menjalani kehidupan seharian aku sebagai mahasiswa UKM. Bangun pagi, mandi, makan. pergi kelas naik bas dan bila ada masa free dan tak ada kelas aku akan ke perpustakaan. Di situ, aku akan menghabiskan masa dengan menimba ilmu. 

Lagi 10 minit sebelum pukul 12, aku dan Ucop masuk ke library. Memandangkan kitorang tak membawa laptop makanya beg diletakkan di dalam bilik simpanan beg. Hanya dibenarkan membawa buku dan barang berharga ke dalam library. Bagi aku, semua barang aku adalah barang berharga. Nak dapat sesuatu bukannya mudah.

Masuk je ke library terus pergi ruangan akhbar. Masa tu tengah hangat cerita dan berita pasal pilihan raya. Semua cerita hal dalam kelambu keluar. Nak baca boleh, tapi percaya 100% jangan. Sebab semua tu tak betul! Ada pulak fitnah!

12.45 tengahari. Baru terperasan yang aku tak bawak masuk galaxy wonder aku ke dalam library. Aku tinggalkan dia kesebijian di dalam beg. Dengan tergesa-gesa aku keluar dan ke tempat simpanan beg. Aku bukak zip beg dimana aku letakkan Galaxy Wonder aku. Alangkah berderaunya darah aku apabila Galaxy Wonder aku tak ada dalam beg. Aku musykil! Gelisah! Keliru! Aku salah letak ke? Aku keluarkan semua barang. Aku teraburkan barang dalam beg aku keluar beg. SAH! Galaxy Wonder aku tak ada! Confirm! Dah hilang!

Aku masuk bagi tahu kat Ucop yang Galaxy Wonder aku hilang. Tiba-tiba dia menggelabah, huru hara tak tentu pasal. Dia pun pergi ke tempat simpanan beg untuk cek beg. Dia cek segala ruang dalam beg dia dan SAH smartfon RM1200 dia pun hilang jugak.

Nak mengamuk, sedih, menangis semuanya tak guna. Tak sampai 2 bulan aku dan ucop guna gadjet-gadjet tu. Dah kena curi! Geramnya hati, hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Selepas kes hitam itu, kitorang buat report kepada librian dan mintak dia putarkan balik rakaman CCTV yang ada dalam bilik simpanan beg tersebut.  Nak tahu siapa lahanat yang sanggup membuat dosa dan boleh dihukum potong tangan!

Pukul 3 lebih, baru kami dapat cek rakaman CCTV tu. Menunggu penuh debaran. Dan akhirnya kami semua di situ nampak siapa pencuri yang telah mencuri Galaxy Wonder aku. Memang aku marah dan geram. Nak je aku bagi penerajang dengan penumbuk cekak tak tamat aku ni kalau aku dapat si pencuri tu. Secara tiba-tiba librian tu berkata "Kalau orang ni yang mencuri, memang dah kenal sangat. Dulu pun dia pernah mencuri. Dah banyak kali dia mencuri". Aku bertanya, "Kenapa tak tangkap". Dia menjawab balik "Susah nak tangkap sebab kita nak kesan pencuri ni mana dia tinggal susah". Dalam hati aku bermonolog, kepala hot** dia lah kata macam tu.

Kemudian, aku tanya pada librian yang sesama tonton CCTV tersebut apa yang perlu aku dan Ucop buat. Nak report polis ke? Kata dia "Jangan, report polis. Susah. Nanti polis asyik call saya dan mintak rakaman ni. Report kat keselamatan UKM je". Aku bertanya lagi, "Apa yang unit keselamatn UKM dapat buat? Dia dapat cari dan tangkap ke pencuri tu ke?". Dia menjawab lagi dengan jawapan yang menyakitkan hati sanubari aku "Tak, dia tak tangkap. Dia hanya buat statistik. Dia nak semak kekerapan orang ni mencuri". Selagi lagi aku bermonolog dan berkepala hot** kan dia.

Aku rasa inilah jawapan yang paling bodoh dan menyakitkan hati aku dan jawapan orang yang hanya mementingkan diri. Makanya, dengan omongan pak cik tu, kami tak buat laporan di Unit Keselamatan UKM mahupun polis. Redha. Itu je yang mampu diucapkan.

Bila fikir-fikir balik menyesal pulak aku tak buat report polis. Kalau buat report sekarang, mesti aku kena marah balik dengan polis tu sebab buat report lambat dan aku tak pasti yang rakaman tu dia masih simpan atau tak lagi.

Selepas dari kes kecurian yang melanda diri aku ni, aku mendengar bermacam cerita yang banyak kes kecurian yang berlaku di library UKM. Semenjak dari hari itu, aku fobia nak bawak barang berharga. Kalau aku bawak, make sure yang beg aku sentiasa bersama aku. Tak nak berpisah dengan beg aku lagi dah. Ke tandas pun aku bawak beg aku ni. Tak sanggup mengulangi sejarah yang melukakan hati aku yang satu ni.

Aku nasihat pada mereka yang membaca cerita ni sampai habis supaya berhati-hatilah sentiasa di UKM sebab di UKM ni bukan selamat mana pun walaupun ada pengawal keselamatan. Kecurian tak sudah-sudah berlaku. Tak pernah pulak dengar yang kes kecurian ni dapat dikesan pencurinya. Lagi satu, kalau berlaku je kecurian di atas diri sendiri, buat je report polis. Tak payah tangguh dan redha. Sebab usaha kita belum sampai penamat lagi.

...Sekian, Wassalam...
...Harap celoteh aku tak membosankan korang...

NotaFO : Sebenarnya barang aku dicuri ni bukan pengalaman pertama di UKM. Kali pertama apabila helmet buruk aku yang selalu aku pakai hilang ketika parking moto di Pusanika UKM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...